Pembangunan Tanah-Tanah Rizab Melayu.

PENDAHULUAN
1. Kertas ini bertujuan untuk memaklumkan para peserata Seminar Pentadbir Tanah 2004 berkenaan dengan isu-isu terkini yang berkait rapat dengan Tanah Rizab Melayu (TRM)
2. Kertas ini juga akan turut memaklumkan bahawa Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang dalam tindakan untuk meminda Enakmen Rizab Melayu (Bab 142) yang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

ISU-ISU KEMUNDURAN TANAH RIZAB MELAYU
3. Sebagaimana sedia maklum isu berkenaan kemunduran TRM yang terletak di lokasi-lokasi yang pesat membangun telah menajdi tatapan umum sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Umum melihat kawasan-kawasan TRM yang berpotensi untuk dimajukan seperti di Segambut yang berdekatan dengan kawasan Sri Hartamas di Kuala Lumpur misalnya, telah tidak dibangunkan dan digunakan secara optimum. Ramai mempersoalkan akan ketiadaan usaha-usaha untuk membangunkan kawasan tersebut dan kawasan sepertinya yang terletak di kawasan yang pesat membangun di Kuala Lumpur khasnya.
4. Sehubungan dengan itu, isu berkaitan dengan kemunduran TRM ini juga telah mendapat tempat dan menarik perhatian Jemaah Menteri dan Jemaah Menteri telah mengarahkan supaya kajian dilakukan ke atas permasalahan ini. Seterusnya masalah-masalah yang dihadapi dalam membangunkan TRM telah dikaji dan diselidiki dengan terperinci. Antara masalah utama yang menyebabkan TRM agak keterbelakang berbanding tanah yang bukan berstatus TRM yang terletak berhampiran dengannya adalah seperti di Lampiran A.

CADANGAN PEMBANGUNAN TANAH RIZAB MELAYU
5. Pada tahun 2002 yang lalu, Jemaah Menteri telah mengarahkan supaya satu Jawatankuasa Khas Kabinet berkenaan Pembangunan Tanah Rizab Melayu dibentuk dan dipengerusikan oleh Y.B Datuk Seri Utama Dr. Rais bin Yatim, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Jawatankuasa Khas ini telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan dan merangka cadangan untuk pembangunan TRM dan telah pun menyediakan satu laporan kajian yang mengandungi permasalahan berkaitan dengan pembangunan TRM dan syor-syor berkenaan cara menangani masalah pembangunan TRM serta strategi yang boleh digunakan untuk membangunkan TRM. Laporan tersebut telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
6. Seterusnya Jemaah Menteri telah bersetuju dengan berpandukan kepada Laporan yang telah dibentangkan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut bahawa terdapat keperluan untuk meminda ERM juga telah menetapkan criteria pindaan yang perlu ke atas ERM. Jawatankuasa Teknikal Penyediaan Cadanagan Pindaan ERM kemudiannya telah bermesyuarat beberapa kali bagi menentukan struktur dan bentuk pindaan yang boleh dilakukan ke atas ERM berdasarkan kepada keputuan Jemaah Menteri tersebut.

DASAR DAN STRATEGI PEMBANGUNAN TRM MELALUI PINDAAN KE ATAS ERM
7. Susulan dan hasil dari mesyuarat-mesyuarat yang dijalankan, Jawatankuasa Teknikal ini telah merumuskan dasar dan strategi pembanguna TRM adalah seperti di bawah.
a) bagi tujuan mempermudahkan usaha-usaha membangunkan TRM dan meningkatkan nilai pasarannya, maka pendekatannya adalah seperti berikut:
i) membenarkan mana-mana bank dan institusi yang dilesenkan di bawah Akta Bank dan Institusi –Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) atau Akta Bank Islam 1983 (Akta 276) untuk menerima gadaian TRM;
ii) membenarkan mana-mana Perbadanan yang dibenarkanoleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) melalui pemberitahuan di dalam warta dan mana-mana Perbadanan ditubuhkan dibawah mana-mana undang-undang Persekutuan atau Negeri untuk menerima gadaian TRM; dan
iii) membenarkan mana-mana syarikat atau perbadanan yang memperuntukkan kemudahan pinjaman membeli hartanah kepada pekerja-pekerja Melayunya dikecualikan daripada keperluan memohon kelulusan PBN untuk memegang gadaian;

b) bagi tujuan melindungi pihak-pihak yang telah diberi kelulusan terdahulu dan kepentingan pekerja-pekerja Melayu, maka satu peruntukan kecualian (saving provision) perlulah digubal supaya semua badan dan syarikat yang telah tersenarai dalam Jadual Kedua ERM (NMB Bab 142) sekarang akan terus menikmati pengecualian yang telah diberikan itu;
c) bagi tujuan mengekalkan pemegangan TRM di kalangan orang-orang Melayu perlulah dipastikan peruntukan-peruntukan yang menghalang peletakhakan TRM kepada bukan Melayu dan penangkapan lelong oleh bukan Melayu terus dikekalkan. Namun sedikit kelonggaran diberikan dalam bentuk berikut:
i) membenarkan pemberian Surat Kuasa Wakil atau Power Attorney kepada mana-mana syraikat dengan syarat mendapat kebenaran PBN terlebih dahulu untuk tujuan pembangunan TRM sahaja dan Power Attorney ini hendaklah boleh batal dan sah untuk tempoh tidak melebihi 60 tahun; dan
ii) membenarkan pajakan atau pajakan kecil yang tidak boleh melebihi 60 tahun kepada mana-mana pihak yang berminat dan berkesungguhan untuk membangunkan TRM dengan kebenaran pemilik TRM.
d) bagi tujuan mempermudah dan menggalakkan usaha-usaha membangunkan TRM, maka diperkenalkan beberapa peruntukan berikut:
i) mewujudkan satu entity atau syarikat milik penuh Orang Melayu yang dikenali sebagai Malay Company yang boleh bertindak sebagaimana seorang individu Melayu di bawah Enakmen;
ii) mewujudkan satu entiti atau syarikat yang mempunyai penglibatan orang Bukan Melayu sebanyak 45% dalam pegangan syer dan dibenarkan utnuk membangunkan TRM dengan kebenaran dan pemantauan sepenuhnya oleh PBN. Syarikat ini akan dikategorikan sebagai “Malay Holding Company”; dan
iii) membenarkan PBN mengambil langkah-langkah untuk memajukan TRM dengan keutamaan diberikan kepada pemilik TRM untuk memajukan TRM miliknya dengan atau tanpa bantuan PBN;
e) bagi tujuan menggalakkan kewujudan dan pengekalan tanah berstatus TRM beberapa peruntukan baru diperkenal selaras dengan tujuan ini. Peruntukan baru tersebut adalah seperti berikut;
i) membenarkan tuan punya tanah bukan TRM untuk memohon supaya tanah yang bukan TRM yang dimiliknya sebagai TRM. Peruntukan ini diselaraskan dengan Perkara 89(3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan permohonan dibuat oleh tuan punya tanah bukan TRM untuk menjadikan tanahnya sebagai TRM selepas syarat-syarat tertentu dipenuhi terlebih dahulu; dan
ii) mengkehendaki PBN supaya menggantikan TRM yang telah diambil dan dibatalkan status TRMnya dengan satu kawasan tanah yang serupa jenisnya (similar character) dan luasnya tidak kurang daripada kawasan TRM yang diambil atau dibatalkan statusnya itu.
8. Kesemua dasar dan strategi yang dinyatakan di atas kemudiannya diadaptasikan menjadi cadangan pindaan ERM dan dikemukakan untuk proses pindaan. Perlu diberi perhatian bahawa dasar dan strategi di atas bukan hanya menumpukan kepada konsep pembangunan TRM sahaja malah ia juga mengekalkan konsep ketuanan TRM yang telah dipertahankan oleh ERM itu sendiri.

KESIMPULAN
9. Sebagai kesimpulannya, dalam usaha untuk membangunkan TRM jawatankuasa penyediaan pindaan undang-undang ERM telah bertunjangkan kepada prinsip “ke arah memperluaskan ruang bagi usaha-usaha membangun dan meningkatkan nilai komersial TRM dengan cara membolehkannya dibangunkan bersama penglibatan orang Bukan Melayu, tanpa menjejaskan pemilikan tanah-tanah tersebut di kalangan orang-orang Melayu”,

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>